Sunday 1 July 2012

Menteladani Akhlak Rasullulah ~BERBUAT BAIK KEPADA ANAK YATIM

Anak yatim ialah anak yang telah kematian bapanya selagi ia belum mencapai usia baligh. Di dalam Islam, anak yatim mempunyai kedudukan tersendiri daripada anak-anak yang mempunyai bapa. Mereka mendapat perhatian yang khusus dari Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam, tidak lain demi untuk menjaga kepentingan hidupnya supaya ia tidak terlantar hingga menjadi manusia yang tidak bertanggungjawab. Oleh kerana itu, banyak hadis-hadis baginda yang menyatakan betapa mulianya orang yang suka memelihara anak yatim atau berbuat baik terhadapnya.

Tetapi suruhan Nabi ini tidak mendapat sambutan dari masyarakat Islam yang kini telah jauh dari ajarannya. Perkara ini tidak  sepatutnya dilakukan oleh umat Islam yang inti ajarannya banyak menganjurkan sikap suka tolong-menolong sesama mereka.

Suatu teladan yang harus ditiru yang pernah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam, sebagaimana yang diceritakan oleh Anas bin Malik Radhiallahu 'anhu: "Pada suatu hari raya, Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam keluar menuju solat. Di tengah perjalanan, baginda bertemu dengan sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain-main. Di antara kanak-kanak tersebut, terdapat seorang kanak-kanak yang kelihatan sedih menyebabkan baginda bertanya kepadanya:
"Hai anak, mengapa kamu bersedih hati, enggan ikut bermain bersama-sama kawan-kawanmu?"
Kanak-kanak tersebut tidak tahu bahawa ia sedang berdepan dengan Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam. Lalu dengan linangan airmata ia pun menjawab:
"Wahai pakcik, ayah saya telah gugur dalam peperangan membela Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam. Sekarang ibu saya telah berkahwin lagi. Suaminya telah mengusir saya sedang harta kekayaan saya warisan dari ayah telah habis dimakan oleh ibu. Kini saya tidak mempunyai makanan, minuman, pakaian dan rumah. Oleh kerana itu saya menangis kerana menyesali nasib yang telah menimpa diri saya Mengapa malapetaka menimpa ayah saya sehingga nasib saya menjadi seperti ini, tidak sebagaimana kawan-kawan yang masih mempunyai ayah."



                                 

Mendengar jawapan si anak kecil, hati baginda menjadi hiba lalu baginda bersabda: "Wahai anak kecil, sukakah jika aku menjadi bapamu, A'isyah menjadi ibumu, Ali menjadi bapa saudaramu, Hasan dan Husin menjadi saudaramu dan Fatimah menjadi saudara perempuanmu?" Kanak-kanak itu terperanjat mendengar jawapan tersebut, lalu ia sedar bahawa ia sedang berdepan dengan Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam. Dengan gembira ia pun berkata:
"Mengapa tidak suka, ya Rasulullah?"
Sejak itu ia menjadi tanggungan Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam di mana baginda mengasuhnya sebagaimana baginda mengasuh keluarga baginda sendiri, memberikannya pakaian, makanan dan semua keperluannya dengan baik. Kanak-kanak tersebut tidak bersedih lagi kerana sentiasa mendapat kasih sayang dari Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam."

Kejadian di atas merupakan suri teladan yang patut ditiru. Betapa besar budi baginda, yang telah memberi contoh kepada umatnya bagaimana seharusnya berbuat baik terhadap anak-anak yatim. Padahal tugas yang dihadapi oleh Nabi bukanlah kecil. Baginda perlu berdakwah setiap saat untuk menyampaikan ajaran-ajaranNya. Baginda seorang ketua negara, panglima tentera yang tidak boleh lepas dari tugastugas ketenteraan. Namun, kesibukannya itu bukan merupakan alasan untuk tidak memikirkan nasib anak yatim. Demikian1ah kebesaran akhlak Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam sebagai contoh agar ia diamalkan oleh umatnya kelak di kemudian hari. Oleh kerana itu, banyak hadis-hadis baginda yang menyatakan betapa mulianya orang yang berbuat baik terhadap anak-anak yatim.

Dari Sahl bin Sa' ad Radhiallahu 'anhu katanya bahawa Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:
"Aku dan orang yang menanggung (memelihara) anak yatim (dengan baik) ada di syurga bagaikan ini..(sambil memberi isyarat dengan merentangkan kedua-dua jari telunjuk dan jari tengahnya). " (Riwayat Bukhari)

Seorang wanita yang kematian suami dan mempunyai mempunyai anak kecil yang belum baligh, maka berdasarkan hadis di atas ia dijamin masuk syurga sekiranya ia memelihara anaknya itu dengan sebaik baiknya. Sebaliknya, jika ia lalai melaksanakan tugas menjaga dan mendidik anaknya sehingga mengakibatkan kerugian bagi anak tersebut, ia pasti mendapat hukuman yang berat di akhirat kelak.

Dalam Tafsir al-Qurthubi yang bersumber dari Abu Sa'id al-Khudri ada diceritakan bahawa ketika Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam melakukan mi'raj, baginda melihat segolongan manusia yang mempunyai bibir seperti bibir unta. Setiap orang dari mereka disumbat mulutnya dengan batu besar secara paksa, hingga keluarlah batu itu melalui dubur mereka. Melihat kejadian aneh tersebut, baginda bertanya kepada Jibril Alahissalam:
“Wahai Jibril, siapakah mereka itu?”
Jibril menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim.”
Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberikan petunjuk mengenai cara-cara mempergauli anak-anak yatim dengan baik, sebagaimana firmanNya:
“Dan mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim, katakanlah: Mengurus mereka secara patut adalah lebih baik, dan jika kamu bergaul dengan mereka,maka mereka adalah saudaramu, dan Allah mengetahui siapakah yang membuat kerosakan dari yang mengadakan perbaikan. Dan jikalau Allah menghendaki, nescaya Dia mendatangkan kesulitan kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Baqarah:220)

Demikianlah kewajipan setiap umat Islam di dalam berbuat baik kepada anak-anak yatim. Kita tidak boleh berpeluk tubuh serta membiarkan anak anak yatim hidup dalam keadaan terlantar. Kita hendaklah mengikuti cara-cara bagaimana Rasulullah Sallallahu ‘alahi wassalam berbuat baik terhadap anak-anak yatim




  --------------------------------------------->  klik disini <-------------------------------------------------

No comments:

Post a Comment

Followers